Tuesday, December 11, 2018

BAB 5 PENGURUSAN BILIK DARJAH

RUMUSAN




Bahagian ini menerangkan mengenai pengurusan bilik darjah. Bilik darjah merupakan medan perjuangan utama seorang guru menjalankan tugas, peranan dan tanggung jawab. Seseorang guru akan diklasifikasikan sebagai tidak melaksanakan tugas sekiranya amanah ini diabaikan walaupun beliau merupakan seorang juara masyarakat yang paling komited di luar bilik darjah atau di luar sekolah. Seseorang itu tidak akan dikatakan sebagai pemain jika sekadar duduk di luar padang walaupun mempunyai kemahiran sebagai juara. Sehubungan dengan itu, bilik darjah perlu diurus dengan keadaan terbaik dan kondusif agar pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan efektif serta guru boleh dinobatkan sebagai pendidik berketerampilan cemerlang.
Dua pengurusan sumber yang perlu dikuasai oleh guru adalah pengurusan sumber manusia dan sumber fizikal. Sumber manusia merupakan satu faktor yang perlu diberi perhatian bagi memastikan visi dan misi untuk kepentingan manusia itu sendiri dalam sesebuah organisasi dapat dillestarikan secara optimum. Manakala, sumber fizikal adalah sumber yang berkaitan dengan kebendaan atau alam semula jadi. Seperti yang kita tahu, sumber  fizikal di dalam bilik darjah adalah merangkumi segala kemudahan dan peralatan yang terdapat di dalamnya seperti kerusi, meja untuk pelajar dan guru, papan tulis, papan kenyataan, ruang bacaan, almari buku, alat bantu mengajar (ABM) dan sebagainya.
            Seterusnya, ilmu yang perlu diterapkan dalam diri seseorang guru itu adalah ilmu pengurusan bilik darjah, ilmu interaksi yang berkesan, ilmu pengurusan iklim bilik darjah  dan ilmu pembelajaran dan pengajaran. Kesemua aspek ini perlu dikuasai oleh seseorang guru sewaktu mengajar dalam bilik darjah. Kepelbagaian kemahiran amat diperlukan dalam pengurusan bilik darjah. Antaranya adalah kemahiran pengurusan sumber fizikal, kemahiran mengurus bahan mengajar, kemahiran pengurusan kaunseling, kemahiran pengajaran dan pembelajaran serta kemahiran pengurusan sumber manusia. Strategi yangberkesan juga diperlukan sewaktu mengurus bilik darjah.
            Menjadi tanggungjawab guru mencari jalan untuk mencapai matlamat ini. Di sesetengah sekolah mengurus dan mengawal tingkah laku para pelajarnya merupakan satu cabaran hebat yang perlu guru harungi bagi menjadikan pembelajaran dan pengajaran lebih kondusif di bilik darjah. Guru-guru boleh mempelbagaikan kemahiran pengajaran dalam menjalankan tugas harian mereka di sekolah. Mereka perlu menjadi seorang yang pakar dalam subjek yang mereka ajar, dan juga mesti mempunyai kemahiran mengawal tingkah laku pelajar yang disruptif di bilik darjah agar proses pembelajaran dan pengajaran berlaku di bilik darjah. Antara aktiviti yang boleh dijalankan di dalam kelas sewaktu proses P&P adalah senaman ringkas untuk menarik fokus dan tumpuan pelajar atau usunan kotak mancis untuk melihat kumpulan mana yang mampu membina menara paling tinggi dan kukuh. Aktiviti lain seperti susunan puzzle di mana setiap kumpulan diberi satu puzzle dan perlu menyelesaikan dalam tempoh yang singkat. Dengan cara ini, dapat dilihat cara pelajar berinteraksi sesame ahli kumpulan yang lain dalam menyelesaikan tugasan dan pelbagai lagi aktiviti yang boleh dijalankan.








Kesimpulannya, jelaslah bahawa pengurusan bilik darjah merupakan tugas penting yang memerlukan pengetahuan, kemahiran, kesabaran dan komitmen yang optimum bagi memperoleh kesan yang maksimum. Harus diingat bahawa guru pelatih perlu mendapat maklumat secukupnya tentang bilik darjah dan pelajar-pelajarnya terlebih dahulu sebelum menjejakkan buat pertama kali ke dalam bilik darjah berkenaan. Persediaan JERIS (Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek, Sosialisasi) guru pelatih yang lengkap akan membolehkan pengajaran dan pembelajaran dijalankan dengan jaya, ceria dan cemerlang.





Fail untuk dicapai:




BAB 4 PENGURUSAN MURID

RUMUSAN




Antara aspek yang ditekankan dalam topik ini adalah termasuklah mengurus rekod murid, kesediaan murid belajar dan memotivasikan murid. Pengurusan rekod dan penyimpanan maklumat murid amat penting serta berguna bagi sekolah, guru kelas dan ibu bapa murid, Jabatan Pelajaran Negeri, Kementerian Pelajaran dan pihak lain yang berkenaan. Dengan adanya rekod maklumat murid, pihak-pihak berkenaan boleh menggunakannya sebagai sumber rujukan. Sistem Maklumat Murid Berkomputer mengandungi maklumat mengenai butir-butir peribadi murid yang telah direkodkan. Dalam sistem ini mencakupi maklumat senarai rekod kesihatan murid seperti alahan, semput, sakit jantung dan sebagainya. Maklumat ini sangat penting sebagai langkah-langkah keselamatan. Rekod kedatangan harian murid juga terdapat dalam sistem ini. Sistem maklumat berkomputer ini juga memudahkan urusan pertukaran sekolah dan memudahkan pendaftaran. Guru perlu menitikberatkan pemantapan sistem pengurusan pelajar seperti kad 001 pelajar, profil murid perlu kemas dan teratur serta perkembangan akademik, emosi, sahsiah dan tingkah laku pelajar.

            Selain itu, konsep kesediaan pelajar juga perlu diambil kira dari segi kesediaan kognitif, afektif dan psikomotor. Kesediaan kognitif merujuk kepada peringkat perkembangan mental untuk menerima rangsangan dan memahaminya, menaakul dan berfikir serta dapat menghubungkaitkan pengalaman sedia ada seseorang. Ia lebih berkait rapat dengan mental untuk memahami dan berfikir. Sebagai contoh, ketika kita membaca bahan dalam bab ini dan cuba memahaminya, kita sedang menekankan aspek kognitif. Begitu juga ketika kita mendengar dan cuba memahami kuliah yang disampaikan oleh pensyarah. Apabila seseorang individu telah mencapai kesediaan mental, pencapaian akademiknya adalah selaras dengan usaha dan latihan yang dilaluinya.

Kesediaan afektif merujuk kepada sikap, keinginan, ketekunan, perasaan, minat dan nilainya untuk menerima pelajaran yang disampaikan. Apabila pelajar mempunyai kesediaan afektif yang positif, secara tidak langsung mereka akan menjadi aktif dan mudah untuk menerima pembelajaran. Malahan ini menjadi dorongan kepada mereka untuk lebih berjaya. Ianya berbeza dengan pelajar yang tidak mempunyai kesediaan dari segi afektif, mereka berkemungkinan tidak dapat menerima pengajaran guru dengan sempurna dan boleh menimbulkan masalah kepada pelajar lain yang bersama-sama mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran.


Kesediaan psikomotor merujuk kepada penguasaan kemahiran yang berpusat kepada tindakan fizikal termasuklah perkembangan fizikal iaitu fungsi anggota dan pengawalan penyelarasan penggerak dalam seluruh tubuh badan. Sebagai contoh, dalam sesuatu permainan, teknik menggunakan taktik menjadi salah satu faktor yang boleh memberikan kemenangan dalam sesuatu permainan. Tidak cukup dengan menggunakan taktik sahaja, sikap ingin menang yang ditanam dalam diri juga mampu menentukan sesuatu kejayaan dalam permainan. Sumber pengajaran dan pembelajaran yang bergerak hendaklah mengandungi gambar yang besar dan menarik serta huruf-huruf besar saiznya. Hal ini demikian kerana akan memudahkan penglihatan murid. Dengan itu, ternyata bahawa kesediaan psikomotor amat penting bagi kanak-kanak untuk mencapai koordinasi pergerakan otot yang sempurna. Segala aktiviti dan alat bantu mengajar yang disediakan oleh guru hendaklah sejajar dengan kesediaan psikomotor murid-muridnya.

Fungsi utama  sebagai seorang guru, adalah berusaha untuk memotivasi pelajar untuk belajar. Di sekolah terdapat beratus-ratus pelajar. Jadi, akan wujud pelbagai jenis ragaman pelajar yang berbeza. ada pelajar yang tahap motivasinya rendah, ada pelajar yang tahap motivasinya tinggi. Jadi, sebagai seorang bakal guru, kita mestilah mampu mengenalpasti pelajar-pelajar di sekolah dan bagaimanakah ciri-ciri pelajar yang akan kita hadapi. Ini boleh berlaku sekiranya anda boleh membuat pelajar itu memberi sepenuh perhatian, berdisiplin dan bertingkah laku baik semasa sesi pengajaran anda. Setiap pelajar di sekolah memerlukan pendidikan yang baik yang boleh guru tawarkan.


Fail boleh dicapai:



https://drive.google.com/open?id=1Iq_QDilh-x3IVvC90PncW511s1ryjNw_ https://drive.google.com/open?id=1eQ3Xo9BdsenOtGXyeQ7jjqITGcoW4nYl

https://drive.google.com/open?id=1KOtQet8uXsn9hp-R84XyFwNVLuWptLc2


Kesimpulannya, penilaian yang dilaksanakan dengan sempurna oleh guru dapat membantu murid mengatasi masalah pembelajaran. Melalui aktiviti tindakan susulan yang efektif, guru dapat membantu murid meningkatkan kemajuannya dalam pembelajaran dan seterusnya memperoleh pencapaian cemerlang.

BAB 3 ORGANISASI DAN KEPIMPINAN







RUMUSAN

Terdapat pelbagai pendapat yang dikemukakan berkaitan dengan penyenaraian tugas pentadbiran sekolah. Antaranya yang dikemukakan oleh L. Gulick dan L. Urwick, penyenaraian yang dilakukan oleh mereka adalah berdasarkan POSDCORB. Akronim tersebut adalah mewakili huruf-huruf pertama perkataan iaitu Planning (P), Organizing (O), Staffing (S), Directing (D), Coordinating (CO), Reporting (R), dan Budgeting (B). Dalam huraiannya, Planning  atau merancang merupakan penentu kepada perkara yang mesti dilakukan dan cara untuk melaksanakan sesuatu kerja. O pula iaitu organizing, adalah perkara yang digunakan dalam membentuk satu struktur formal tentang pembahagian kusa dalam menyempurnakan tugas aktiviti yang telah dirancang. S pula staffing iaitu fungsi tentang tenaga pekerja seperti melantik atau melatih pengawai yang sedia ada dan juga mengatur suasana tempat kerja yang memuaskan. Directing (D), merupakan tugas untuk membuat kepurusan dan memberi arahan dan tunjuk ajar kepada kakitangan. Bagi menyelaras ataupun coordinating (CO) pula merupakan tugas dalam menyampaikan maklumat kepada pihak atasan atau bawahan melalui rekod-rekod kajian dan pemerhatian. Reporting (R) pula tugas yang perlu dilakukan dengan cara menyampaikan maklumat kepada pihak atasan melalui bawahan melalui rekod-rekod kajian dan juga pemerhatian. Akhir sekali budgeting (B) merupakan satu tugas dalam mengendalikan urusan kewangan dari segi peruntukan, perbelanjaan dan kawalan. Tugas-tugas ini merupakan tugas yang perlu dilakukan dalam pentadbiran sekolah.

Seterusnya, kepimpinan merupakan kunci utama dalam sesuatu organisasi, pengurusan dan pentadbiran pendidikan di seluruh dunia. Kepimpinan dalam pendidikan adalah unik dan memerlukan pengetahuan yang luas kerana perlu menguruskan manusia dari umur yang berlainan pada sesuatu masa (Sarvinder Singh dan Ahmad Esa, 2008). Dalam sesebuah organisasi pendidikan, pentadbiran atau juga dikenali sebagai pengurusan merupakan antara elemen penting, tanpa pengurusan yang cekap akan menyebabkan proses pengeluaran tidak dapat berjalan dengan baik. Ketua setiap organisasi memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan tadbir urus organisasi dengan lebih baik. Untuk mengurus sesuatau organisasi, seseorang ketua atau pentadbir hendaklah memahami terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan pentadbiran.

 Dalam pendidikan, pengetua merupakan tunggak utama dalam menjayakan organisasi sesebuah sekolah. Pengetua memainkan peranan dalam merealisasikan matlamat pendidikan negara dengan cara melaksanakan sistem pendidikan yang cemerlang. Dalam erti kata lain, kemantapan kepimpinan sekolah dilihat sebagai pemacu kepada penghasilan pendidikan yang berkualiti (Suffian Jalet, 2009). Melalui kajian yang dijalankan oleh Abdul Ghani Abdullah (2005), menyatakan bahawa gaya kepimpinan pengetua secara transformasi sememangnya mampu digunakan untuk meningkatkan prestasi guru, namun kepimpinan secara transformasi perlu ditambah dengan moderator atau faktor penggantian kepimpinan agar mengukuhkan kepimpinan beliau dalam dalam usaha ingin meningkatkan lagi prestasi guru dan juga sekolah. Secara rumusannya, kepimpinan dan organisasi disekolah memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan keberhasilan sistem pendidikan di sekolah. Organisasi yang kukuh akan mampu melicinkan pentadbiran disesebuah sekolah. Setiap jawatan dalam organisasi di sekolah diwuudkan dengan kepentingan tersendiri yang menjadi tunggak kepada pendidikan yang berkualiti disekolah. Oleh itu, kepimpinan dan organisasi merupakan elemen penting dalam sistem pendidikan dalam negara. Berikut merupakan gambaran terhadap organisasi bidang pengurusan disekolah.


           











RUJUKAN

Abdul Ghani Abdullah. 2005. Kepimpinan transformasi pengetua dan penggantian kepimpinan sebagai penentu komitmen terhadap organisasi dan perlakuan warga organisasi pendidikan. Jurnal Pendidik dan Pendidikan. USM, Pulau Pinang. Diperoleh daripada web.usm.my/education/publication/JPPGhani%20(53-68)B.pdf






Sarvinder Singh & Ahmad Esa. 2008. Kepimpinan dalam menghadapi isu-isu semasa pendidikan. UTHM. Diperoleh daripada http://eprints.uthm.edu.my/ 2712/1/21._ PKPGB_2008_1.pdf

Suffian Jalet. 2009. Mengenalpasti Gaya dan Keberkesanan Kepimpinan Pengetua Cemerlang Kanan Wanita di Sekolah: Satu Kajian Kes di Sekolah Menengah Tun Abang Haji Openg, Kuching, Sarawak. Universiti Malaysia Sarawak. Diperoleh daripada https://ir.unimas.my/412/1/Suffian_bin_Haji_Jalet.pdf

Fail boleh dicapai:
https://drive.google.com/open?id=1Iq_QDilh-x3IVvC90PncW511s1ryjNw_ https://drive.google.com/open?id=1eQ3Xo9BdsenOtGXyeQ7jjqITGcoW4nYl

https://drive.google.com/open?id=1KOtQet8uXsn9hp-R84XyFwNVLuWptLc2


BAB 1 PENGURUSAN PEMBELAJARAN DAN PENGAJARAN







RUMUSAN

Kecermelangan seseorang pelajar adalah bergantung kepada penagajaran oleh seseorang guru dan pembelajaran oleh murid itu sendiri. Menurut Ishak Baba (2009), pelajar yang tergolong dalam golongan lemah adalah pelajar yang tidak diberi penekanan dan juga pemantauan oleh pihak-pihak tertentu. Ini bermakna pelajar tersebut berkemungkinan akan berada dalam kedudukan gagal jika dibiarkan begitu sahaja tanpa bantuan dan penambahbaikan. Melalui pembentangan yang telah disampaikan dapat dirumuskan bahawa pengajaran dan pembelajaran yang berkesan amat penting dalam menghasilkan pelajar cemerlang. Pembelajaran abad ke 21 amat membantu pendidik dalam cara menyampaikan kaedah pengajaran yang betul iaitu dari segi kedudukan dalam kelas, cara mendekati pelajar, dan juga pengajaran yang mudah memahamkan pelajar.

                     Pembelajaran melalui kaedah 4C iaitu communication, collaboration, critical thinking, dan creativity merupakan antara elemen kemahiran yang melatih pelajar-pelajar dalam pembelajaran. Seterusnya adalah berkenaan kaedah pembelajaran abad ke 21 iaitu Rainbow Group dan juga Gallery Walk dimana strategi pembelajaran tersebut akan membuatkan suasana kelas lebih menarik dan akan berlaku interaksi diantara pelajar. Kedua-dua kaedah yang digunakan dalam pembelajaran tersebut akan memerlukan setiap pelajar mengajar kepada rakan-rakan mereka mengenai apa yang mereka fahami. Hal ini akan menyebabkan pelajar-pelajar tersebut akan lebih mudah ingat. Dalam piramid hieraki dengan mengajar pelajar akan mengingati 90% apa yang mereka pelajari berbanding mereka sekadar mendengar apa yang diajar oleh guru. Piramid pembelajaran adalah sperti didalam rajah dibawah.



                    

Sumber: http://www.edu-cat-ion.com/edu-cat-ion/the-effectiveness-of-teaching-strategies-on-learning/



                     Selain daripada itu, pengurusan pembelajaran dalam pengajaran ini memerlukan guru untuk mengenalpasti reaksi pelajar dalam pengajaran berlangsung sama ada resah, murung bising dan sebagainya kerana reaksi yang ditunjukan murid sebenarnya merupakan cermin kepada pengajaran yang dilaksanakan oleh guru. Guru hendaklah sentiasa menjalankan muhasabah kepada dirinya bagi mengetahui kelemahan dalam pengajaran mereka. Melalui muhasabah guru akan mampu untuk sentiasa memperbaiki keurangan yang terdapat dalam pengajaran yang dilakukan.

                     Seterusnya, dalam pengajaran melalui teori yang dikemukakan oleh Robert Glaser, memperkenalkan model pengajarannya melibatkan empat elemen iaitu objektif pengajaran, pengetahuan sedia ada, kaedah mengajar, dan juga penilaian pencapaian. Dalam objektif pengajaran, Robert menerangkan objektif pengajaran merupakan aspek utama. Hal ini bermaksud guru terlebih dahulu mengenali perkembangan dalam diri pelajar dari sudut kognitif, psikomotor dan juga afektif agar pembelajaran adalah sesuai dengan kebolehan pelajar. Selain itu, dalam objektif guru perlu melihat juga dari aspek masa dan persekitaran. Objektif ini adalah bagi memastikan kehendak hasil dapat dicapai. Kehendak hasil dapat dilihat dari aspek perubahan tingkah laku pelajar dan juga penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran.

                     Dari sudut elemen pengetahuan sedia ada pula merupakan satu elemen yang wujud sedia ada di dalam diri pelajar. Bermakna pengetahuan sedia ada mampu menjadi pintu bagi tingkah laku kemasukkan dalam diri pelajar dalam proses pengajaran. Ianya merujuk kepada kebolehan intelek, aras motivasi, dan juga budaya pelajar. Bagi kaedah mengajar, guru hendaklah menggunakan kaedah yang sesuai berdasarkan objektif yang telah dilakukan. Setelah memilih kaedah, penilaian hendaklah dilakukan bagi mengetahui samaada mencapai objektif yang dibuat ataupun tidak. Cara menilai boleh dilakukan dalam pelbagai cara antaranya, soal jawab, pemerhatian dan juga ujian bagi cara formal. Hasil daripada penilaian akan membolehkan guru mengetahui kelemahan dan juga kebaikan sepanjang pengajaran dilakukan. Seterusnya, bagi elemen terakhir iaitu kesesuaian, guru yang melakukan pengajaran mengikut kaedah yang sesuai diajar oleh mereka. Misalnya, bagi subjek Kemahiran Hidup guru hendaklah menekankan proses pengajaran berkonsepkan amali bukan tertumpu kepada domain kognitif sahaja.

                     Kesimpulannya, keberkesanan dalam pengajaran hendaklah sentiasa ditekankan oleh semua guru-guru kerana pengajaran penting dalam memastikan pembelajaran didalam bilik darjah lebih berkesan sehingga berjaya menghasilkan pelajar yang berkualiti dalam pelbagai sudut yang bukan sahaja tertumpu kepada akademik semata-mata.





RUJUKAN

Anonymous. (2018). The Effectiveness ofTeaching Strategies on Learning. Diperoleh daripada http://www.edu-cat-ion.com/edu-cat-ion/the-effectiveness-of-teaching-strategies-on-learning/




Ishak Baba. (2009). Keberkesanan Pengajaran Dan Pembelajaran Dan Kaitannya Terhadap Prestasi Akademik Pelajar UTHM. Diperoleh daripada http://eprints.uthm.edu.my/ 5572/1/0486.pdf





Fail boleh dicapai:
https://drive.google.com/drive/folders/1Iq_QDilh-x3IVvC90PncW511s1ryjNw_?usp=sharing
https://drive.google.com/drive/folders/1eQ3Xo9BdsenOtGXyeQ7jjqITGcoW4nYl?usp=sharing
https://drive.google.com/drive/folders/1KOtQet8uXsn9hp-R84XyFwNVLuWptLc2?usp=sharing





BAB 2 PENGURUSAN DAN PEMBELAJARAN PELAJAR






RUMUSAN


Secara rumusannya, cara pembelajaran dan juga gaya pembelajaran setiap orang adalah berlainan diantara satu sama lain. Setiap orang akan mudah menerima ilmu melalui gaya yang berasingan. Sebagai seorang guru, pengajaran melalui pelbagai gaya pengajaran amat penting bagi memastikan kesemua pelajar mampu dan mudah memahami pengajaran yang dilakukan. Pengajaran abad ke 21 amat berketepatan dalam memastikan pembelajaran lebih berkesan kerana kesemuanya melibatkan ketiga-tiga jenis gaya pembelajaran iaitu auditori, kinestatik dan juga visual. Antara gaya pengajaran abad ke 21 yang diajar adalah Gallery Walk.

            Seperti yang telah disentuh tadi pembelajaran yang berkesan adalah pembelajaran yang mampu mengubah tingakah laku seseorang daripada tingkah laku asal mereka. Menurut Haward Gardner, setiap manusia mempunyai kebijaksanaan yang berlainan antara satu sama lain. Gardner menyenaraikan tujuh kepelbagaian kebijaksanaan antaranya muzik, visual, lisan, interpersonal, intrapersonal, kinestatik, dan matematik (logik) (Kendra Cherry,2018) . Menurut Gardner, kelemahan sistem pendidikan adalah dengan membuat setiap orang perlu mempelajari bahan pelajaran yang sama. Sememangnya sukar sebagai guru untuk memenuhi segala kepelbagaian ini. Namun melalui bantuan multimedia mampu merubah ianya menjadi senang. Teori bagi multiple intelligence yang disenaraikan oleh Gardner adalah seperti dalam rajah dibawah.





                Dalam pembelajaran, teori yang digunakan oleh Skinner amat bertepatan digunakan. Teori penlaziman operan Skinner yang digunakan oleh Skinner yang merupakan ahli psikologi menekankan bahawa setiap perlakuan manusia hendaklah mempunyai rangsangan dan pengukuhan yang positif untuk menghasilkan tingkah laku yang berulang-ulang. Teori ini telah dikemukakan oleh Skinner setelah menjalankan kajian terhadap tikus didalam sebuah kotak. Teori penlaziman operan Skinner ini menunjukan bahawa sesuatu pengukuhan positif yang diberikan oleh guru akan memberikan rangsangan yang akan sentiasa diulang-ulang oleh pelajar. Oleh itu, pengurusan pembelajaran hendaklah sentiasa disertai dengan pengkuhan yang positif agar pelajar sentiasa mengulangi setiap pembelajaran yang diminta oleh guru. Teori ini sama seperti teori penlaziman klasik oleh Pavlov.

            Dalam teori penlaziman klasik Pavlov pula mengemukakan teorinya melalui kajian yang dijalankan oleh beliau bekerja dalam bahagian psikologi di Institut Kajian Perubatan. Kajian yang dilakukan oleh Pavlov adalah keatas seekor anjing. Pavlov melihat bagaimana anjing tersebut bertindak balas terhadap makanan. Dalam pemerhatian tersebut, anjing akan merembeskan air liurnya apabila mendapat makanan. Tetapi apabila dibunyikan loceng anjing tersebut tidak mengeluarkan air liurnya. Apabila Pavlov membunyikan loceng dan memberi makanan secara berulang kali, secara automatik apabila dibunyikan loceng anjing tersebut akan mengeluarkan air liur walaupun tidak diberikan makanan lagi (Nazatul Akmal, 2013).

            Oleh itu, melalui teori Pavlov ini dapat dirumuskan bahawa semakin kerap rangsangan semakin kerap gerak balas dilakukan. Dalam pembelajaran, pelajar akan sentiasa melakukan perkara yang baik (gerak balas) apabila guru sering memberi pengukuhan yang positif seperti pujian, motivasi atau pemberian hadiah (rangsangan). Dengan cara ini murid akan sentiasa melakukan teransang untuk sentiasa melakukan sesuatu dalam pelajaran apabila mendapat pengukuhan positif tersebut.

            Secara keseluruhannya, pengurusan dalam pembelajaran pelajar memerlukan suatu pengajaran yang berkesan. Hal ini dikatakan demikian kerana, cara pengajaran yang baik serta cara penyampaian yang pelbagai yang mampu mengikut kehendak murid akan mampu dan memudahkan pelajar untuk memahaminya. Empat elemen yang dikemukakan oleh Gardner merupakan antara elemen penting yang perlu difahami dan dipraktikan oleh guru untuk memastikan pembelajaran murid berlangsung dengan baik.

RUJUKAN


Amani Abd Karim. (2010). Startegi Belajar Berkumpulan dan Pengaruhnya Terhadap Akademik. Universiti Teknologi Malaysia. Diperoleh daripada www.fp.utm.my/ePusatSumber/pdffail/ptkghdfwP/ AMANIBP 070 031D2010TTP.pdf

Kendra Cherry. (2018). Gardner’s Theory of Multiple Intelligences. Diperoleh daripada https://www. verywellmind .com/gardners-theory-of-multiple-intelligences-2795161

Nazatul akmal. (2013). Teori Skinner dan Pavlov. Diperoleh daripada https://www.slideshare.net/ nahzatulakma/ teori-25993589


Fail boleh dicapai dalam:

https://drive.google.com/open?id=1Iq_QDilh-x3IVvC90PncW511s1ryjNw_ https://drive.google.com/open?id=1eQ3Xo9BdsenOtGXyeQ7jjqITGcoW4nYl
https://drive.google.com/open?id=1KOtQet8uXsn9hp-R84XyFwNVLuWptLc2



BAB 14 PENDIDIKAN ABAD KE 21

RUMUSAN Pendidikan abad ke 21 merupakan didikan yang meluas dengan penggunaan bahan-bahan pendidikan digunakan dlam proses pembelaj...